Sedang bertanya, belek-belek, mencari jawapan untuk dikongsi. Kebanyakan laman web atau blog tempatan mengaitkannya dengan kecantikan, mungkin kerana kacang ini berlendir. Malangnya khasiat yang dinyatakan tidak bersandarkan kajian. Terpaksalah belek buku. Khabarnya, dari 100 bahagian buah kacang bendi (Hibiscus esculentus) yang boleh dimakan mengandungi:
31.0 kCal tenaga, 90.5g air, 1.7g protein, 0.1g lemak, 5.9g karbohidrat, 1.0g serat, 0.8g abu, 77.0mg kalsium, 32.0mg Fosforus, 1.3mg zat besi, 30.0mg natrium, 80.0mg kalium, 200.0 mikrogram beta-karetena, 0.1mg vitamin B1, 0.2mg Vitamin B2, 0.7mg niasin, dan 19.3 mg.
Kacang bendi adalah sumber folate dan serat. Ia juga mengandungi vitamn C, B6, thiamin, magnesium dan kalium. Kacang bendi adalah sayur yang rendah lemak dan kalori. Sayur ini digunakan untuk memekatkan lauk terutamanya kari.
Ada orang kurang menggemari kacang bendi kerana ia berlendir. Sebenarnya kalau kena cara memasak, kacang bendi amat enak. Lagipun ia amat berkhasiat.
Satu hidangan kacang bendi (1/2 cawan) mengandungi 30% dari khasiat pemakanan yang disyorkan oleh RDA. Ia adalah sumber antioksidan, vitamin A, C dan kalium, iaitu elektrolit yang diperlukan untuk imbangan cecair badan dan mengirim utusan melalui saraf, pergerakan otot dan metabolisma. Tak hairanlah ada tapak web yang mengaitkan kacang bendi dengan kesihatan otak. :)
Sebenarkan cecair berlendir dalam kacang bendi bukannya suatu yang tidak elok. Cecair tersebut mengandungi pektin dan serat yang larut dalam air. Pektin membantu mengurangkan kolesterol dalam darah dengan mengganggumenyerapan cecair hempedu dalam usus dan memaksa hati menggunakan lebih banyak kolesterol untuk membina hempedu.
Jumlah serat yang banyak membantu aliran penghadaman dengan mengelakkan ceret beret dan sembelit. Ah, ketika memasak jangan dipotong kacang bendi untuk mengelakkan kehilangan cecair. kalau boleh masak kacang bendi dengan bahan berasid, misalnya buah tomato untuk mengurangkan lendir.
Jadi benarlah apa yang diwarwarkan dalam web yang saya baca, kacang bendi kekalkan keremajaan (antioksidan), baik untuk kulit, mengelakkan selesema (vitamin C), baik untuk otot dan otak, melawaskan penghadaman, serta mengurangkan kolesterol. Apa ditunggu lagi...
Saya sendiri suka celur kacang bendi dan cicah sambal cili ketika makan nasi.Nyaaaaaammai.