Saturday, November 6, 2010

Murid bawa makanan tidak halal dirotan disiasat

KUCHING 4 Nov. – Jabatan Pelajaran negeri akan meneliti kes membabitkan seorang pelajar tahun empat di sebuah sekolah di sini yang mendakwa dirotan sebanyak 10 kali oleh gurunya kerana membawa bekal nasi goreng berlaukkan sosej babi, baru-baru ini.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak sekolah berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, adalah lebih baik untuk mendengar alasan kedua-dua pihak terbabit terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.

”Setelah kita mendengar perkara sebenar yang berlaku, baru kita dapat menilai perkara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang semalam.

Semalam, Angela Jabing membuat aduan bersama sayap wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan mendakwa bahawa anaknya berusia 10 tahun dirotan penolong kanan sekolah kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Angela berkata, pada 15 Oktober lalu, dia menyediakan nasi goreng beserta sosej babi sebagai bekal makanan kepada anaknya ketika waktu rehat sebelum dikejutkan dengan berita bahawa anaknya itu telah dipukul serta dirotan sebanyak 10 kali kerana membawa makanan tersebut.

Tambahnya, anaknya kini takut untuk pergi ke sekolah akibat kejadian itu.

Sementara itu, sumber Jabatan Pelajaran negeri ketika dihubungi hari ini memberitahu, kes murid berkenaan sedang disiasat dan satu laporan lengkap akan disediakan dalam masa terdekat.

Katanya, kes tersebut perlu disiasat dengan teliti bagi memastikan kebenaran dakwaan murid itu.

Tambahnya, murid-murid dibenarkan untuk membawa bekal ke sekolah walaupun mengandungi bahan haram kecuali pihak kantin dilarang daripada menjual makanan tidak halal di sekolah.

Sementara itu Malaysianinsider.com melaporkan..


KUALA LUMPUR, 6 Nov — MCA menggesa Kementerian Pelajaran bertindak tegas ke atas sebuah sekolah rendah di Sarawak yang didakwa menguatkuasakan dasar makanan halal, mendakwa tindakan itu bercanggah dengan hak pelajar-pelajar bukan Islam.

Parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar ini berkata guru-guru sekolah awam tiada hak untuk mengenakan nilai agama mereka ke atas murid lain.

Gesaan itu dibuat Timbalan Ketua Biro Publisiti MCA Loh Seng Kok (gambar) dengan merujuk kepada insiden membabitkan pelajar Basil Baginda yang dirotan 10 kali di tangan oleh penolong kanan Sekolah Kebangsaan St Thomas, Kuching kerana membawa bekalan nasi berlauk sosej khinzir ke sekolah 15 Oktober lalu.



Ibunya Angela Jabing membawa isu berkenaan ke perhatian media selepas gagal memperoleh penjelasan memuaskan daripada pentadbiran sekolah.

Pada sidang media di Kuching minggu lalu, Angela dipetik berkata penolong kanan terbabit pada pertemuan 19 Oktober lalumemberitahunya bahawa beliau tidak boleh ingat insiden itu lalu meminta agar tidak membesar-besarkan isu itu atas alasan terlalu sensitif.

“Jika tuduhan itu betul, tindakan harus diambil terhadap penolong kanan dan pengetua sekolah terbabit,” kata Loh dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tegasnya lagi, pengetua sekolah dan penolong kanan terbabit turut didesak supaya meminta maaf kepada pelajar dan Angela.

Ini kerana, kata beliau, pelajar yang berusia 10 tahun itu mengalami trauma akibat layanan tidak adil tersebut.

Kata Loh, tindakan penolong kanan terbabit memberi amaran kepada waris pelajar supaya tidak membesar-besarkan insiden tersebut turut dipertikai. 

No comments:

Post a Comment